Jumaat, 20 Mei 2011

SURAT TERBUKA UNTUK YB MERU

Infomeru telah menerima email dari seseorang untuk dikongsi bersama masyarakat

SURAT TERBUKA UNTUK YB MERU……. SIRI 1
3 tahun lebih telah berlalu, kemenangan bergaya YB bagi DUN N42 Meru pada Pilihanraya Umum ke-12 bertarikh 8 Mac 2008 dengan majoriti 5513. Seperti kata YB, keputusan yang mengejutkan dan tak pernah diduga oleh semua pihak. Sepertinya bukan sahaja mengejutkan sekalian rakyat DUN Meru tapi pastinya YB juga terkejut dengan kemenangan tak dijangka tersebut.
Itulah bukti kuasa dan ketentuan Allah yang maha mengetahui yang jauh dari jaukauan fitrah akal makhluknya. Kemenangan jumlah undi hanyalah asbab teknikal undang-undang ciptaan manusia tetapi yang pasti YB telah di pilih oleh Allah S.W.T untuk menjadi khalifah, pemimpin atau wakil rakyat kepada seluruh rakyat DUN Meru.
Maka dinobatkanlah YB sebagai wakil rakyat Meru yang baru dari parti yang baru seterusnya menamatkan monopoli 3 penggal pentadbiran BN/UMNO di bumi bertuah ini. Sememangnya sekalian rakyat DUN Meru tanpa mengira tua muda, kaum dan fahaman politik menerima kemenangan YB sebagai wakil rakyat. Adat bertanding mengakui akan ada pihak yang akan kalah atau menang.  Sememangnya prinsip demokrasi menetapkan mana-mana calon yang memenangi jumlah undi akan dikira sebagai pemenang dan diiktiraf sebagai wakil rakyat.
Sepanjang 3 tahun lebih pentadbiran YB, mana yang baik diucapkan tahniah dan syabas. Sebaliknya kita semua manusia biasa yang tidak terlepas dengan kesilapan dan kesalahan justeru terimalah teguran dengan hati terbuka seperti kata-kata YB dalam ucapan-ucapan awal dahulu. Tetapi sedarlah YB, setiap pemimpin itu akan dipersoalkan dan dipertanggungjawabkan atas apa yang dilakukan di akhirat nanti. Meskipun mendapatkan kemenangan itu susah tetapi mengisi kemenangan itu jauh lebih susah dan payah.

Renungan Buat YB.
Pembuka bicara, renungi dan fikirkanlah YB, barangkali kemenangan dan jawatan adalah ujian dan dugaan dari Allah S.W.T. YB lebih arif bahawasanya Allah tidak hanya memberi ujian kepada hambanya dengan kesusahan dan kegagalan. Ada ketikanya Allah menguji kita dengan kesenangan dan kemenangan. Inilah masanya Allah ingin melihat istiqamah YB berhadapan dengan ujian dan dugaanNya. Ini lah masa Allah ingin membandingkan Dr. Rani yang dulu dengan Dr. Rani yang telah bergelar YB. Ini lah masanya Allah nak melihat apakah benar perjuangan YB selama ini atau sekadar modal politik. Inilah masanya Allah nak melihat benarkah kata akan dikota dan juga masanya Allah ingin melihat benarkah misi YB berdakwah melalui politik atau sekadar mengejar cita-cita duniawi.   
Harapan.
Ketahuilah, kemenangan YB membawa harapan, Harapan rakyat di DUN Meru untuk melihat perubahan. Rakyat menunggu dan menanti. Apatah lagi YB mewakili parti PAS yakni parti yang mengaku memperjuangkan prinsip-prinsip Islam. Masanya rakyat menilai janji-janji, kempen, isi ceramah, dasar perjuangan, manifesto, ucapan, keperibadian dan macam-macam aspek lagi bila gelaran Yang Berhormat tertanggung diatas bahu. Rakyat mahu melihat bukti yang YB baru ini lebih baik dari YB yang dulu dan rakyat mahukan YB akan memperbetulkan kesilapan, kelemahan dan ketidakadilan pentadbiran dahulu seperti dalam isi ceramah YB.
Masa inilah rakyat membandingkan setiap inci kata-kata YB dahulu sama ada benar-benar memperjuangkan rakyat atau hanya propaganda menagih sokongan politik. Memang benarlah resam pemimpin, apa sahaja yang dilakukan akan menjadi bahan tontonan, penilaian dan buah mulut rakyat.

Tahniah dan peringatan.
Sebagai pemimpin yang dinobatkan melalui prinsip dan teras sistem demokrasi seharusnya YB meletakkan diri YB sebagai ketua, wakil rakyat atau pemimpin kepada sekalian rakyat di DUN Meru tanpa mengira mereka mengundi YB atau tidak. Tak kira mereka orang PAS, PKR, BN/UMNO,DAP pengundi atas pagar atau yang tidak mengundi langsung mereka adalah anak buah YB. YB bukan menjadi wakil rakyat untuk orang PAS atau PKR sahaja. Berlakulah adil kepada semua tanpa mengambilkira sokongan dan sewajarnya tiada siapa yang harus dijanjikan keistimewaan apatah lagi dipinggirkan. 

Sekali Air Bah Sekali Pantai Berubah.
Resam manusia akan berubah bila kuasa dan takhta ada di tangan. Pelik dan terkejut pula melihat sahabat-sahabat PAS di Meru berubah sikap seawal hari pertama YB menjadi sebagai wakil rakyat. Dalam kegembiraan meraikan kemenangan. Rakyat terkejut dengan sikap ego, sombong dan angkuh segelintir juak-juak penyokong YB yang juga ahli PAS dan PKR. Lagaknya tak ubah seperti kera dapat bunga dan angkuhnya kadang-kadang lebih teruk dari orang UMNO ketika memegang kuasa . Watak-watak seperti Ahmad Samit, Baharom, Ust Haidar, Ismail Joned, Zubir, Ciki, (sekadar menyebut beberapa nama) dan ramai lagi yang bertukar tingkah laku bila merasai kemenangan. Sedarlah wahai sahabat PAS, sikap itulah yang membuatkan rakyat meluat dan menyampah kepada pemimpin UMNO dahulu dan tahniah kini virus tersebut telah berjangkit kepada tuan-tuan. Nasihatilah pengikut dan penyokong YB dan memangnya imej YB tercalar dengan tingkah laku mereka.
Kalau dahulu kita mendengar ceramah PAS pasti tidak lekang dengan istilah kronisme, nepotisme dan rasuah. Tapi kini dengar cerita dari sahabat-sahabat kontraktor dan sembang-sembang di kedai kopi, projek-projek dan tender-tender pun kini telah bertukar tangan kepada kontraktor yang sama warna bendera dengan YB. Maksudnya kalau dulu semua tender dan kerja-kerja kontrak di DUN Meru disapu bersih oleh kontraktor kroni UMNO/BN tapi kini giliran kontraktor kroni PAS/PKR meneruskan kerakusan. Dengar cerita sahabat-sahabat PAS/PKR pun dah ada yang cepat-cepat daftar syarikat agar tidak ketinggalan. Teruskanlah sikap itu wahai sahabat-sahabat PAS dan benarlah kemenangan, kuasa dan pangkat itu sememang hanya ujianNya. Ada sahabat yang berjenaka : lepas dari mulut buaya, masuk kat mulut buaya lain Cuma bezakan buaya baru ni pakai kopiah!

Letakkan Sesuatu Itu Pada Tempatnya  
Mengimbas langkah awal YB dalam menyusun organisasi Ketua Kampung, JKKK, dan AJK masjid kampung-kampung di DUN Meru. Assignment awal YB itu terbukti sekadar mengulangi dan fotokopi amalan songsang pemerintahan UMNO/BN dahulu dengan memastikan semua Ketua Kampung, AJK JKKK, dan AJK Masjid DIMESTIKAN diwakili oleh ahli atau penyokong PAS/PKR. Kalau YB dan orang-orang PAS terlalu anti sekalipun dengan orang UMNO apa salahnya libatkan orang-orang natural dalam organisasi tersebut.  Pi mai pi mai tang tu .  Bukankah JKKK dan masjid itu institusi rakyat yang harus bebas dan berperanan untuk kepentingan masyarakat tanpa dicemari campur tangan pengaruh politik.
Perkara yang sama YB lakukan dalam isu perlantikan Ahli Majlis MPK yang mewakili DUN Meru dengan melantik seorang wakil dari PAS/PKR/DAP. Lupakah YB pernah menyatakan dalam satu ucapan yang YB tidak akan melantik Ahli Majlis semua dikalangan penyokong PAS/PKR/DAP sahaja. Ingatlah YB sebagai pemimpin setiap kata-kata YB akan dipegang sebagai janji oleh rakyat jelata. Perkara yang sama juga berlaku dalam pemilihan jawatankuasa surau dan NGO-NGO di DUN Meru.
Bukankah tugas YB seharusnya meletakkan sesuatu itu kembali pada tempatnya dan memperbetulkan kesilapan dan kelemahan pemimpin lalu jika ada dan seterusnya mengubati kecewa rakyat.. Sedarkah YB kesilapan dan keangkuhan ini yang melahirkan kebencian dan kemarahan rakyat kepada UMNO/BN dahulu dan seterusnya rakyat menjatuhkan hukuman di hari pilihanraya.

Ucapan Pemimpin Rakyat vs Pemimpin Parti
Kalau dulu setiap ucapan YB penuh dengan kata-kata dakwah dan tazkirah, Sejuk hati rasanya mendengar setiap bait kata-kata YB dahulu. Dari aspek ucapan YB kini telah jauh berubah atau sedang lena dipuncak takhta. Sepertinya YB tidak dapat membezakan ucapan dihadapan rakyat dengan ucapan dihadapan ahli parti. Keliru membezakan ucapan dalam majlis rasmi dengan ucapan di dalam program parti. Tanpa mengira ucapan di masjid, surau atau sekolah YB akan berucap seolah-olah YB sedang dihadapan ahli parti. Tanpa mengira bentuk majlis kesempatan akan YB gunakan sepenuhnya untuk meluahkan sengketa politik dan memburukkan parti lawan. Pernah di satu majlis sambutan Hari Raya dalam isi ucapan YB gunakan peluang untuk membela YB Elizabeth Wong yang ketika itu dilanda skandal.
Percayalah  kalau YB merasakan tindakan itu akan meningkatkan sokongan rakyat kepada perjuangan politik YB sememangnya YB silap 100% . Sebaliknya rakyat akan semakin menyampah dan meluat. Lupakah YB bahawa audiens dihadapan itu bukan semuanya orang PAS atau PKR tetapi mungkin sahabat-sahabat dalam UMNO atau pengundi atas pagar yang sentiasa membuat pemerhatian dan penilaian. Dan ingatlah kemenangan YB bukan datangnya dari undi orang PAS/PKR/DAP semata-mata tetapi juga hasil undi orang UMNO dan pengundi atas pagar yang terpesona dengan imej YB dahulu. Dan sedarlah YB bahawa rakyat mengundi YB dalam PRU lepas bukan terpikat dengan ceramah politik YB tetapi rakyat tertarik dengan akhlak dan keperibadian YB dahulu.

Akhir bicara, jika YB merasakan isi kandungan surat ini fitnah, penipuan atau bermotif politik terpulanglah atas pertimbangan wajar YB. Tetapi sedarlah, rakyat sedang mengadili YB. Rakyat sedang menyaksikan betapa ada ketikanya YB cakap tak serupa bikin. Rakyat sedang semakin melihat PAS semakin tiada bezanya dengan UMNO. Renungi, hayati dan insafilah wahai YB. Benarlah kata orang, semakin kuat kita menyepak bola ke dinding, semakin kuat bola itu akan melantung semula pada kita. Renung-renungkanlah wahai YB.


IKHLAS DARI : PEMERHATI SETIA.

Nantikan SURAT TERBUKA UNTUK YB MERU……. SIRI 2... NANTIKAN....

1 ulasan:

  1. pendek kata
    mengata dulang,
    paku serpih,
    mengata orang (umno/bn),
    puak pas/pr yg terlebih-lebih-lebih...

    ingatlah
    dunia ini ibarat roda!!!!

    BalasPadam