Perkhabaran terbaru yang saya terima mengenai 12 orang Islam yang terlibat menghadiri majlis “makan malam” merangkap berbuka puasa di Gereja Methodist Damansara Utama baru-baru ini telah enggan lagi memberikan kerjasama dengan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Nak tahu kenapa?
Jawapan yang mereka berikan pada JAIS ialah “peguam” mereka melarang mereka pergi ke JAIS dan melarang mereka dari memberikan keterangan, butiran atau kerjasama dengan siasatan agensi yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal Islam di negeri Selangor itu.
Kenyataan ini agak pelik untuk saya terima. Sebelum ini, pihak penganjur majlis itu mendakwa bahawa mereka memberikan bantuan kepada masyarakat Islam yang “dhaif, miskin dan kurang berkemampuan” dari segi ekonomi dan kehidupan mereka. Dalam ertikata lain, 12 orang Islam yang terlibat itu merupakan “orang susah”!
Justeru itu, adalah amat mustahil untuk mereka mengupah “peguam” untuk memberi nasihat perundangan kepada mereka berhubung kes siasatan JAIS ini. Manalah mereka mampu untuk membayar yuran guaman yang beribu-ribu harganya. Nak makan pun “terpaksa mengemis di Gereja”, apatah lagi untuk mengupah peguam?
Saya mengesyaki bahawa ada pihak yang menyediakan dan membiayai perkhidmatan guaman untuk semua 12 orang Islam dhaif ini. Menurut sumber, khidmat guaman ini datangnya dari Gereja yang diperiksa oleh JAIS itu sendiri. Khabarnya lagi, khidmat guaman itu turut mempunyai hubung kait dengan Majlis Peguam, sebuah pertubuhan yang sememangnya terkenal dengan pro-murtad di Malaysia.
Agak menghairankan apabila pihak berkenaan sanggup mengeluarkan wang beribu ringgit, kononnya untuk membela semua 12 orang umat Islam yang disyaki cuba di”Kristian”kan oleh gerakan mubaligh di Petaling Jaya itu. Saya mengesyaki bahawa mereka takut rahsia majlis tersebut didedahkan kepada JAIS oleh 12 orang Islam tersebut.
Mungkin sebab itu mereka terpaksa menggunakan khidmat peguam untuk mempengaruhi 12 mangsa keracunan minda itu. Mereka secara tidak langsung telah menghalang kelancaran siasatan JAIS. Ada rahsia yang mereka cuba sembunyikan dari pengetahuan umum dan akhirnya mencetus spekulasi melampau oleh segelintir pihak yang cuba mengambil kesempatan menjadi hero dalam isu ini. Contohnya, Pas.
Apa hak peguam itu untuk menghalang siasatan dan menyusahkan jabatan agama itu dari masa ke semasa? Hal ehwal aqidah umat Islam tidak ada kena mengena dengan peguam yang dilantik oleh Gereja itu. Aqidah ini akan ditanya oleh Allah kelak. Ketika Allah menyoal umat Islam itu nanti, apakah peguam Gereja itu akan tampil untuk membela mereka di depan Allah?
Saya kesal dengan pendirian 12 umat Islam yang enggan memberikan kerjasama dengan JAIS, sebuah badan Islam yang menjaga kepentingan Islam di Selangor. Orang mahu menolong mereka dari dipesongkan aqidah, mereka seolah-olah bodoh sombong, enggan ditolong. Jelas sekali, mereka mempunyai pendirian yang lemah hingga tunduk kepada peguam dari DUMC itu.
Justeru itu, saya menyeru dan merayu kepada 12 orang Islam itu untuk kembali memberikan kerjasama kepada JAIS untuk membantu siasatan kes ini. Demi aqidah mereka dan demi maruah Islam yang cuba dicabar oleh orang yang sedar diuntung itu, saya merayu, dedahkanlah segala rahsia gerakan Gereja itu kepada JAIS.
Mungkin saya tidak punya wang ringgit untuk kalian 12 saudara/saudari seagama saya. Namun, saya yakin bahawa ganjaran Allah di akhirat kelak lebih berbaloi dari apa yang mampu diberikan oleh Gereja tersebut. Wallahu’alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan